JDT, PERMULAAN YANG SEMPURNA NAMUN PERJALANAN MASIH PANJANG

JDT, PERMULAAN YANG SEMPURNA NAMUN PERJALANAN MASIH PANJANG.

Liga Malaysia musim 2024-25 secara rasminya berehat seketika bermula Isnin, 28 Mei 2024. Secara faktualnya, sepanjang bermulanya perlawanan pembuka tirai Liga sehingga terkini, tidak kira membabitkan pasukan utama di Liga Super Malaysia 2024-25 atau pasukan simpanan di Piala MFL 2024-25 ianya akan sentiasa diingati sebagai tempoh yang begitu kompleks dan padat dengan refleksi emosi bagi keluarga Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

3 PERLAWANAN, JDT MENDAHULUI CARTA LIGA SUPER MALAYSIA 2024-25

Kemenangan 1-5 JDT ke atas Kuala Lupur City pada perlawanan ketiga (LS3) Liga Super Malaysia 2024-25 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 25 Mei 2024, 5.30 petang menjadi aksi terakhir Harimau Selatan. 3 kemenangan sempurna menyaksikan JDT mengumpul 9 mata lantas mengungguli singgahsana Liga Super Malaysia 2024-25 buat masa ini.

Selain itu, 3 pemain JDT turut berkongsi kelompok kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak kejohanan antaranya Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Juan Muniz yang menjaringkan 2 gol. Selain itu, Syahmi Safari turut berada dalam senarai penjaring apabila berjaya menjaringkan gol pertama peribadi musim ini ketika bertemu Kuala Lumpur City.

Paling menarik perhatian, pemain JDT yang terkenal dengan jaringan-jaringan spektakular dan bertaraf dunia iaitu Juan Muniz, mencipta 4 bantuan jaringan hasil daripada 2 perlawanan yang telah berlangsung.

Disamping itu, sebermula perlawanan LS2 Liga Super Malaysia 2024-25 yang telah berlangsung pada 18 Mac 2024 sehingga perlawanan LS3 Liga Super Malaysia 2024-25 pada 25 Mei 2024, JDT telah mengimplementasi strategikal penggiliran pemain secara terancang apabila membariskan pemain-pemain yang berbeza pada setiap perlawanan.

Impak penggiliran juga telah memberi peluang kepada pemain-pemain muda antaranya Penjaga Gol muda JDTll Zulhilmi Sharani. Beliau yang sebelum ini mendapat peluang berharga menyertai pasukan utama ke jelajah pramusim Sepanyol di Pusat Bola Sepak Meliá Villaitana, Kota Benidorm, wilayah Alicante disenaraikan sebagai pemain simpanan buat kali pertama pada perlawanan kedua (LS2) Liga Super Malaysia 2024-25 ketika menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Secara konseptualnya, teoretikal ini dipratikkan agar JDT mempunyai sebuah skuad berkualiti berskala besar yang superior untuk menghadapi empat kejohanan iaitu Liga Super Malaysia, Piala FA, Piala Malaysia dan kejohanan sulung Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

2 PERLAWANAN, JDT II BERADA DI KEDUDUKAN PERTAMA PIALA MFL 2024-25

Piala MFL 2024-25 yang memasuki edisi kedua merupakan kejohanan bola sepak Liga Simpanan yang dikhususkan untuk pemain berumur dibawah 23 tahun. Sejumlah 13 pasukan bersaing merebut tangga teratas untuk dinobatkan sebagai juara kejohanan bermula 20 Mei 2024 sehingga 14 April 2025.

Pada musim ini, Malaysian Football League (MFL) merombak secara total format membabitkan aksi Piala MFL dengan menampilkan format liga satu kumpulan berbanding format dua kumpulan pada musim lepas.

Seperti skuad utama Harimau Selatan, skuad JDT ll yang bersaing di Piala MFL 2024-25 turut konsisten apabila tampil sebagai pendahulu liga ketika ini. Dengan catatan 2 kemenangan, 5 gol dan 1 bolos, 6 mata telah terkumpul sepanjang 2 perlawanan yang telah berlangsung.

Produk Akademi JDT yang beraksi bersama JDT ll iaitu Gabriel Nistelrooy muncul pemain paling menonjol apabila menjaringkan 4 gol setakat ini serta berjaya menempatkan diri dikedudukan pertama penjaring terbanyak Piala MFL 2024-25. Paling menarik, pemain berusia 24 tahun ini turut melakar nama sebagai penjaring hatrik pertama Liga Malaysia ketika JDT menewaskan cabaran Sabah FC II pada 20 Mei 2024 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Untuk rekod, seperti Zulhilmi Sharani, Gabriel Nistelrooy juga merupakan antara 5 pemain dari skuad simpanan serta pembangunan JDT yang telah mendapat peluang menyertai pasukan utama menjalani latihan dan perlawanan persahabatan pramusim 2024-25 dari 14 hingga 30 April 2024 di Alicante, Sepanyol.

Selain itu, pemain pertahanan JDTII Ahmad Irfan Mohd Noor turut berada dalam senarai penjaring gol setelah menyumbang 1 gol berharga pada minit akhir masa tambahan perlawanan lantas memberi kemenangan epik JDT keatas Sri Pahang FC pada 28 Mei 2024, Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Akhir kata, untuk perlawanan Liga seterusnya JDT akan meneruskan perlawanan keempat (LS4) Liga Super Malaysia 2024-25 pada Sabtu, 22 Jun 2024 menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri manakala JDT II akan melangsungkan perlawanan ketiga (PMFL3) Piala MFL 2024-25 dengan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan bertemu Negeri Sembilan FC pada Isnin, 24 Jun 2024.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*